design

comel


Pengikut

1.12.2013

mengatasi perasaan kecewa


Fahami punca masalah
Fahami betul-betul sebab-sebab yang menyebabkan anda menjadi kecewa. Selagi anda tidak benar-benar pasti punca yang menyebabkan anda kecewa, pastilah sukar untuk anda mencari jalan keluar dari kekecewaan tersebut. Adalah lebih mudah untuk mengatasi sesuatu perkara yang kita sendiri faham. Oleh itu setelah betul-betul memahami punca-puncanya, maka mudahlah kita untuk cuba mencari jalan keluar daripada masalah itu.
Fahami perasaan anda
Perasaan kecewa yang kita alami adalah umpama mimpi. Kadangkala ianya kurang berasas dan tidak bertapak. Oleh itu kenali benar-benar perasaan kita yang sebenarnya itu. Cuba hayati tekanan yang kita hadapi itu. Apabila kita mengetahui sifat sebenar perasaan kecewa kita itu, maka barulah mudah untuk kita cuba melakukan sesuatu untuk mengatasinya.
Ikhlas dengan perasaan sendiri
Jangan cuba menipu perasaan sendiri. Ini kerana kadangkala kita berasa kecewa bukan pada tempatnya. Misalnya, seseorang itu mungkin berasa kecewa kerana rakannya lebih berjaya dalam peperiksaan. Tapi sebenarnya dia kecewa kerana rakannya itu juga adalah lebih cantik darinya. Malah kekecewaan kerana kurang cantik itu jauh lebih mengatasi kekecewaan kerana prestasi yang kurang baik dalam peperiksaan. Dalam hal ini, kita sengaja menokok-tambah beban-beban kekecewaan itu. Oleh itu cuba ikhlas dengan perasaan sendiri. Cuba fokus kan punca sebenar kekecewaan. Apabila kita teliti dengan hati yang tenang, mungkin kita akan berasa bahawa punca sebenar kekecewaan itu adalah tidak berasas.
Fahami punca-punca kekecewaan
Cuba cari punca asas kita berasa kecewa dan cuba fahami benar-benar keadaan sebenar punca-punca itu. Tanya persoalan berikut: adakah punca-punca itu tidak akan dapat diatasi? akan sentiasa berulang? akan berulang jika tidak melakukan sesuatu? salah diri sendiri? dianiaya? tidak akan berlaku lagi?

Apakah cara untuk mengatasi kekecewaan?

Ini adalah antara ubat kekecewaan. Apabila kita rasa kita sudah mahu bertindak untuk mengatasi kekecewaan, kita sebenarnya telah berjaya, iaitu berjaya dalam perjuangan untuk menguasai diri kita. Sebaliknya juga, apabila kita gagal memulakan langkah-langkah ke arah mengubati hati luka itu, selagi itulah kita dianggap masih gagal. Lantaran itu cuba atasi kekecewaan tersebut
Antaranya adalah:
  • Menumpukan perhatian kepada aktiviti lain yang lebih berfaedah.
  • Melupakan kekecewaan tersebut dan menanam tekad baru untuk tidak kecewa lagi.
  • Meluahkan perasaan kepada orang yang kita percayai.
  • Minta nasihat orang lain.
  • Cuba minta nasihat daripada orang lain yang kita hormati atau segani.
  • Jangan minta nasihat dari orang yang kita benci atau orang yang selalu sakitkan hati kita. Dalam kata lain, jangan tambah penyakit. Tidak kiranya apa nasihatnya, namun biasanya kesediaan orang lain itu memberi nasihat pun sudah cukup untuk melegakan perasaan kita.
 Jangan manjakan perasaan
Jangan terlalu dibawa oleh perasaan. Perasaan kita kalau dilayan sangat memang semakin menjadi. Oleh itu janganlah dilayani perasaan kekecewaan itu sepanjang masa. Cuba keluar dari alam kekecewaan itu. Cuba lakukan aktivit lain yang dapat mengalihkan pemikiran anda dari masalah yang menimbulkan rasa kecewa itu. Bercampurlah dengan rakan-rakan yang lain dalam aktiviti luaran. Secara beransur-ansur, kita akan dapat melupakan perasaan kecewa itu. Walaupun kita akan memikirkannya semula setelah balik ke rumah, namun tahap kekecewaan itu pasti akan berkurangan.
Luahkan perasaan, jangan disimpan


Perasaan kecewa samalah seperti tekanan perasaan. Perasaan ini perlu diluahkan. Kajian sains menunjukkan bahawa perasaan tekanan yang disimpan dalam diri akan membentuk toksin. Oleh itu perasaan tersebut perlulah diluahkan. Setiap  orang menggunakan cara yang tersendiri untuk meluahkan perasaan. Ada yang menghempuk meja. Ada yang menangis. Ada yang menjerit kuat-kuat. Ada yang mencoretkan rasa hatinya dalam diari kesayangannya. Walau apa pun yang dilakukan, perasaan tekanan itu akan sedikit berkurangan setelah diluahkan. Namun cara yang terbaik untuk meluahkan perasaan adalah dengan menceritakannya kepada orang yang dapat memahaminya dan dapat pula memberi kita jalan keluar kepada masalah tersebut. Orang yang dimaksudkan ini termasuklah cikgu, kaunselor, emak. kakak atau rakan-rakan yang kita rasa cukup dewasa dan cukup memahami kita.
Biar pemikiran beransur-ansur mengatasi perasaan


Cuba tenangkan perasaan sehingga perasaan yang menguasai diri kita mula diatasi oleh pemikiran. Apabila pemikiran (otak) mula mengatasi perasaan (hati) maka mudahlah untuk kita mula melihat jalan yang lebih lurus dan bertapak di bumi nyata. Malah kalau anda beruntung, anda tidak perlu mencari jalan untuk mengatasinya lagi kerana pemikiran rasional anda telah mengatasi rasa kecewa itu.
Tiada jalan pendek atasi kekecewaan
Ingatlah bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya. Malah kejayaan yang manis itu perlu mengharungi pelbagai ranjau. Oleh itu anda perlu faham bahawa jalan-jalan yang anda akan lalui untuk mengelakkan daripada berlaku lagi kekecewaan itu memerlukan masa yang cukup untuk dilaksanakan. Adakalanya langkah-langkah tersebut adalah berperingkat-peringkat dan hanya akan membuahkan hasil dalam jangka panjang juga. Misalnya, pokok yang ditanam tidak akan berbuah esok pagi! Sekiranya ini difahami, maka dapatlah kita menghindari kekecewaan berganda iaitu kecewa kerana langkah-langkah yang dijalankan kurang memberi hasil. Banyak bersabar. Ingat pepatah Melayu Ikut rasa, binasa. Ikut hati, mati. Ikut nafsu, lesu. Ikut perasaan? Boleh pengsan! Oleh itu apabila kita telah tenang, ikutlah akal supaya kita jadi cekal.
Bertawakal


Bertawakal bermakna menyerahkan segala nasib kepada Allah setelah kita melakukan apa yang terdaya. Nabi Muhammad s’a.w memberi contoh supaya menambat unta dan selepas itu bertawakal. Ini bermakna jika unta itu tidak diikat, bertawakal pun tak guna. Dalam kes untuk menghindari kekecewaan ini, kita pasrah kepada nasib hanya setelah kita melakukan segala usaha yang kita rasa mencukupi. Apabila kita yakin dengan tawakal kita itu, maka kita tidak akan kecewa lagi apabila mengalami kegagalan. Ini kerana kita yakin bahawa semuanya itu adalah ketentuan Allah dan adalah hikmahnya.
Tanam keyakinan diri
Kekecewaan sering timbul dan berlarutan apabila kira kurang mempunyai keyakinan diri. Apabila kita kalah misalnya, kurang keyakinan diri menyebabkan kita rasa yang kita akan sentiasa kalah lagi. Ini menyebabkan kekecewaan kita sentiasa meningkat walaupun puncanya adalah satu sebab.